yang lepas jangan dilepaskan

Tuesday, May 24, 2011

Seks Bebas Menjadi Trend


Saya pernah menghadiri satu forum di Kolej Kediaman Ungku Aziz (KUAZ), Universiti Malaya (UM) yang membincangkan isu pengguguran bayi. Forum tersebut bertajuk Pengguguran bayi dan seks bebas menjadi trend?
Isu ini dikupas berlandaskan dua agama, iaitu Islam dan Hindu. Ustaz Mohd Khairul Nizam (pensyarah di Akademi Pengajian Islam, UM) mewakili Agama Islam dan Cikgu Ragunathan Parasubramaniam Guru dijemput untuk mewakili Agama Hindu.
Isu pertama yang dibangkitkan adalah statistik kelahiran bayi luar nikah berdasarkan tahun dan agama. Tidak mengejutkan apabila moderator memaklumkan saban tahun bilangannya sentiasa meningkat.
Ustaz Khairul Nizam membentangkan hujah-hujahnya berkaitan pengguguran bayi menurut perspektif Islam. Beliau menekankan petikan ayat al-Quran dalam surah Al-An'am (ayat : 151) dan surah Al-Israk (ayat 31-32) berkaitan larangan pembunuhan anak kerana takutkan kefakiran.
Melalui ayat ini, Ustaz Khairul Nizam menerangkan bahawa pembunuhan dan pengguguran bayi telah berlaku sejak dahulu lagi, buktinya sudah termaktub di dalam al-Qur'an. Ia bukanlah suatu gejala baru yang berlaku pada zaman millennium ini, malah pembunuhan anak telah berlaku sejak zaman jahiliah lagi disebabkan kekolotan dan kekurangan ilmu pada waktu itu.
Mereka sewenang-wenangnya menanam anak mereka hidup-hidup sekiranya anak mereka berjantina perempuan. Tidak jauh beza dengan zaman sekarang, yang berbeza hanyalah caranya sahaja.
Pada zaman sekarang bayi yang tidak berdosa dibuang di dalam tong sampah, dicampak dari kereta, dibakar, dihanyutkan ke sungai dan macam-macam cara lagi. Malah masyarakat kini jauh lebih buruk perangainya jika dibandingkan dengan masyarakat jahiliyyah dahulu yang tidak berilmu.
Seterusnya, ulasan daripada Cikgu Ragu menurut perspektif agama Hindu. Cikgu Ragu menekankan ketiadaan perasaan malu merupakan faktor utama penyebab kepada berleluasanya gejala negatif ini.
Menurut Cikgu Ragu, Agama Hindu juga seperti Agama Islam iaitu turut menekankan soal kebaikan yang dikenali sebagai Dharma (berbuat baik). Beliau menerangkan terdapat lima konsep utama dalam hidup:
1. Atman (Roh)
2. Brahman (Tuhan)
3. Karma (Perbuatan-pahala, dosa)
4. Samsara (Kelahiran Semula)
5. Moksha (Kembali kepada Tuhan)/ Mati
Beliau juga sekeras-kerasnya menekankan bahawa pengguguran bayi adalah sangat dilarang dalam Agama Hindu kerana dosanya seperti membunuh sami atau membunuh ibu bapa sendiri. Selain itu, beliau menerangkan tentang empat peringkat kehidupan dalam Agama Hindu:
1. Brahmacharya (zaman bujang) - masa untuk persiapan ke alam dewasa, belajar berdikari
2. Grahasta (dewasa) - masa untuk persiapan ke arah alam rumah tangga, mengumpul harta, bertujuan baik untuk mempunyai anak)
3. Vanaprasta - masa untuk bersedia ke arah kehidupan selepas mati
4. Mati - kembali kepada tuhan.
Beliau berkata, kebanyakan remaja masa kini tidak sabar untuk menempuh alam dewasa. Kebanyakan daripada mereka tidak sabar untuk memasuki peringkat Grahasta tanpa persediaan yang sewajarnya dan menyebabkan mereka kekurangan ilmu dan pengalaman untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Seterusnya, Ustaz Khairul Nizam membincangkan tentang cara-cara yang dapat membendung gejala pengguguran bayi dan seks bebas ini.
Salah satunya adalah memudahkan perkahwinan.

Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang sangat digalakkan dalam Islam. Namun, zaman sekarang adat lebih dititik beratkan daripada agama.
Urusan perkahwinan di Malaysia khususnya 'disusahkan' kerana terikat dengan adat. Majlis dilakukan secara besar-besaran walaupun sumber ekonomi tidak mengizinkan. Kebanyakan daripada pasangan "terpaksa" mendapatkan duit beribu-ribu sehingga sanggup berhutang semata-mata kerana untuk menunaikan tuntutan "adat" dan mengabaikan tuntutan agama.
Mereka mereka yang ingin berkahwin dihantui dan dibelenggu dengan masalah kewangan. Ada juga yang ditegah untuk berkahwin disebabkan masih bergelar pelajar, masih muda dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah, gejala negatif ini berleluasa tanpa dapat dibendung.
Salah satu kaedah untuk membendung gejala ini adalah dengan memudahkan prosedur sesebuah perkahwinan. Jika sesuatu pernikahan dijalankan mengikut syariat Allah, sudah pasti kecerewetan tidak akan berlaku lebih-lebih lagi dalam urusan hantaran, kenduri, persandingan dan sebagainya.
Andai semua urusan berlandaskan syariat, InsyaAllah dapat membantu dengan adanya "BARAKAH" dalam hubungan tersebut.
Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, "Jadikan (adakan) pernikahan sekalipun dengan hanya menyembelih seekor kambing".
Selain itu, masyarakat sekarang lebih suka meng'YES'kan yang negatif, contohnya ibu bapa membenarkan anak bercinta. Trend sekarang katanya. Mereka lebih mudah mengikut tatacara hidup jahiliah yang lebih "bebas" dan lebih "mengikut peredaran zaman".
Tambah Cikgu Ragu, sekarang ini semua orang kurang penghayatan dan hormat terhadap agama. Lebih suka menunding jari. Jadi, masing-masing perlu ubah diri sendiri dulu, ubah nasib keluarga, baru boleh fikir untuk memiliki keluarga sendiri.
Jadi, apa yang dapat disimpulkan di sini, pokok pangkalnya kita perlulah kembali kepada agama, seek for His guidance. Ini bukan masa untuk kita buat dosa lagi. Islah itu atas diri sendiri. Seimbangkan rohani dan jasmani. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, insyaAllah. Saya sekadar berkongsi apa yang saya dapat daripada talk itu. Semoga sama sama dapat manfaat.
InsyaAllah.
www.tips-fb.com

No comments: