yang lepas jangan dilepaskan

Sunday, September 16, 2012

Undang Undang Sekular di Malaysia

Asalamualaikum .



  Salam hari pembentukan satu malaysia kepada semua . aku hanya expect orang mesia je bace post aku nih keh keh keh

  aku mengambil kesempatan hari cuti ini untuk memenuhi janji aku kepada readers aku untuk menerang kan secara teliti lagi ape yang aku post sebelum ini . Rasmi!:Malaysia bukan negara Islam

  sebenar nye aku dah lame nak tulis pasal ini . disebab kan huraian die panjang lebar , jadi aku pendekkan dan ia mengambil masa beberapa hari .. Teruskan membaca




Malaysia – Negara Islam atau Sekular?
Isu Malaysia sebagai
sebuah ‘Negara Islam’ mula diperkatakan dengan hangat apabila Dato’ Seri Dr.
Mahathir (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) mengisytiharkannya secara terbuka
pada 29/09/01 semasa Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan ke-30 Parti Gerakan
Rakyat Malaysia. Bermula dari sini, ada pihak yang kerana ingin menjaga periuk
nasi hanya tunduk dan ‘yes sir’ sahaja kepada apa yang diumumkan.
Di samping itu, tidak kurang juga bilangan pihak yang menyanggah pernyataan
tersebut, termasuklah dari golongan bukan Islam sendiri. Yang pasti, perdebatan
mengenainya sehingga kini masih belum sampai ke penghujung. Baru-baru ini pula,
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab
pertanyaan dari wartawan mengatakan bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi
merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.
Menurutnya lagi, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi
didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah
agama rasmi. Ketika diajukan soalan tentang kerajaan kelihatan sedang menuju ke
arah menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, Najib berkata: “Saya perlu
betulkan anda. Kita tidak pernah menjadi sekular kerana sekular seperti yang
ditakrif oleh Barat bererti meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita
mentadbir negara. Kita tidak pernah berpendirian sedemikian (kerana) kita
sentiasa didorong oleh pegangan kita kepada asas Islam. Tanggapan anda adalah
salah.” [UM 18/07/07]
Hasil dari kenyataan Najib tersebut, banyak pihak yang tidak berpuas hati dan
menyuarakan ketidaksetujuan mereka, termasuklah dari Parti Komponen Barisan
Nasional sendiri. Dalam reaksinya, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan
memetik memorandum yang diserahkan oleh Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid
pada 27/09/1956 yang berbunyi “Agama Malaysia adalah Islam. Kepatuhan kepada
prinsip ini tidak boleh boleh meminggirkan rakyat bukan Islam yang memeluk dan
mengamalkan agama masing-masing dan tidaklah bermakna bahawa Malaysia bukannya
Negara Sekular”. Ong seterusnya memetik satu nota yang disediakan oleh Colonial
Office bertarikh 23/03/1957 semasa London Conference Talks yang berbunyi,
“Para anggota delegasi Parti Perikatan menekankan bahawa mereka tidak ada niat
untuk mewujudkan (negara) teokrasi Muslim tetapi bahawasanya Malaya akan menjadi
Negara Sekular”. “Ini adalah niat asal yang begitu jelas dan nyata oleh
ahli-ahli UMNO, MCA dan MIC”, kata Ong. Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee
pula menyatakan bahawa sifat semulajadi Perlembagaan Persekutuan yang
sememangnya sekular menjadi asas kepada pembentukan bangsa semenjak 1957 dan
diimplementasikan semula pada 1963 (semasa penubuhan Malaysia). “Kedudukan
Perlembagaan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular juga telah disahkan oleh
Mahkamah Agung pada tahun 1988 di dalam kes Pendakwaraya –vs- Che Omar”, tegas
Wong lagi. [The Star 19/07/07]

Kecelaruan Takrif
Mutakhir ini kita melihat hasrat umat untuk kembali semula kepada Islam semakin
meningkat. Arus kebangkitan Islam telah mengalir di mana-mana dan menyapu
apa-apa sahaja yang menghalang laluannya. Rata-rata umat Islam sudah mula nampak
bahawa keburukan yang membelenggu mereka selama ini adalah berpunca dari sistem
sekular yang busuk. Kebangkitan ini dapat dilihat telah menjadi ancaman kepada
mereka yang memegang tampuk kekuasaan.
Justeru, agar tidak ditolak oleh kebangkitan rakyat yang mahukan Islam, maka
golongan ini terpaksa merubah ‘haluan’ mereka agar nampak lebih ‘Islami’.
Tindakan ini perlu agar mereka dilihat sejalan dengan arus (Islam) yang menerpa
dan dalam masa yang sama mereka boleh kekal di kerusi pemerintahan. Padahal,
pada hakikatnya, mereka boleh terus kekal di kerusi pemerintahan hanya dengan
membuang sistem sekular dan menggantikannya dengan hukum-hakam Islam. Sekiranya
mereka melakukan perkara ini, InsyaAllah seluruh umat Islam akan mendokong
pemerintahan mereka. Malangnya mereka ternyata lebih rela membenarkan dunia yang
fana’ ini membelenggu mereka.
Dalam mengubah ‘haluan’ ini, pelbagai kekeliruan ditimbulkan dalam penggunaan
istilah seperti ‘sekular’ dan ‘Negara Islam’. Istilah-istilah ini ditakrif
mengikut kehendak sendiri tanpa bersandarkan fakta dan dalil yang sahih. Oleh
itu, kita menyaksikan pada hari ini banyak konsep, definisi dan istilah-istilah
Islam yang sebelum ini begitu jelas menjadi kabur, keliru, terseleweng dan yang
lebih teruk, hilang dari kamus kaum Muslimin.
Walaupun istilah hudud telah dikenali ramai, namun istilah-istilah seperti
ta’zir, ghanimah, jizyah, khumus, siyasah, kharaj, usyur, darul harb, darul
islam dan banyak lagi ternyata kabur, malah sebahagian dari umat Islam sendiri
langsung tidak memahaminya. Istilah seperti khalifah, syura, wali, jihad dan
sebagainya pula telah diselewengkan sehingga lari dari maknanya yang sebenar
dari segi syara’. Inilah juga apa yang telah terjadi dengan istilah Darul Islam
(Negara Islam) di mana ramai umara’ dan ulama sekarang memberikan maksud baru
Negara Islam yang begitu asing dari Islam, sehingga ada yang membolehkannya
diterjemah mengikut acuan sendiri.
Maksud ‘sekular’ juga telah dipolemikkan sehingga umat terjerat dengan pelbagai
tafsirannya. Ada yang cuba memesongkan maknanya dengan mengatakan bahawa ‘kita
mesti memahami istilah sekular bukan sebagaimana takrifan Barat’ yang
seolah-olah menjelaskan ‘sekular’ boleh ditakrifkan dengan maksud yang baik,
jika tidak mengikut Barat.
Ada yang mengatakan sekular bermaksud tidak mempercayai hari kiamat dan hisab di
akhirat. Manakala sebahagian umat Islam yang lain hanya nampak sekular membawa
erti politik yang dipisahkan dari agama. Justeru, adalah perlu untuk kita
mencerahkan kembali kekaburan penakrifan sekularisme dan Negara Islam
memandangkan telah berlaku pelbagai tafsiran mengikut kepentingan yang tersasar
jauh dari maksud sebenar istilah-istilah ini.
Malaysia Dan Sekularisme Sesungguhnya Barat adalah penganut dan pengembang
Ideologi (mabda’) Kapitalis yang menjadikan sekularisme sebagai akidah mereka.
Kelahiran mabda ini bermula pada saat kaisar (caesars) dan raja-raja di Eropah
menjadikan agama sebagai alat untuk memeras, menganiaya dan menghisap darah
rakyat. Para pemuka agama (gereja) waktu itu, dijadikan perisai untuk mencapai
keinginan mereka. Maka timbullah pergolakan sengit, yang kemudian membawa kepada
kebangkitan ahli falsafah dan cendekiawan.
Sebahagian mereka mengingkari adanya agama secara mutlak, sedangkan yang lainnya
mengakui adanya agama, tetapi menyeru agar ia dipisahkan dari kehidupan dunia.
Sampai akhirnya, pendapat majoriti dari kalangan ahli falsafah dan cendekiawan
itu lebih cenderung memilih idea untuk memisahkan agama dari kehidupan yang
kemudiannya menghasilkan usaha pemisahan antara agama dengan negara. Jika dahulu
agamalah yang menjadi penentu di dalam kehidupan, sekarang, telah disepakati
agar agama tidak diperhitungkan lagi dalam kehidupan ini. Maksudnya, seseorang
boleh menerima mahupun menolak agama (atau Tuhan) selama mana ia (agama) tidak
campurtangan dalam kehidupan.Pokoknya, agama itu harus dipisahkan dari kehidupan
dan kehidupan mesti ditentukan sendiri oleh manusia.
Idea ini dianggap sebagai kompromi (jalan tengah) antara pemuka agama yang
mengkehendaki segala sesuatu itu harus tunduk kepada mereka (atas nama agama)
dengan para ahli falsafah dan cendekiawan yang mengingkari adanya agama. Jadi,
idea sekularisme ini sama sekali tidak mengingkari atau menolak adanya agama,
cumanya ia tidak menjadikan agama berperanan dalam kehidupan. Ini menjadikan
agama hanya sekadar ‘formaliti’ belaka, kerana sekalipun mereka mengakui
kewujudannya, namun pada dasarnya mereka menganggap bahawa kehidupan dunia ini
tidak ada hubungannya dengan agama.
Justeru, kita menyaksikan bahawa sesiapa yang mahukan agama, maka mereka akan
pergi ke gereja-gereja untuk ‘berhubung’ dengan Tuhan mereka tetapi apabila
mereka (di luar gereja) melakukan aktiviti jual beli, mengambil riba,
sewa-menyewa, mencuri, membunuh, berzina dan sebagainya, maka segala peraturan
dalam hal ini ditentukan oleh mereka sendiri tanpa ada ketentuan atau ‘hubungan’
dengan Tuhan. Penentuan jenis hukuman, terpuji dan tercela, halal dan haram dan
sebagainya berada di tangan manusia dan boleh diubah mengikut kehendak manusia.
Dengan kata lain, mereka meyakini bahawa peraturan kehidupan tidak ada
‘hubungan’ dengan Tuhan, kerana agama hanyalah berperanan dalam mengatur
‘hubungan peribadi’ seseorang itu dengan Tuhannya sahaja. Setelah mereka sepakat
untuk memisahkan agama dari kehidupan, maka timbullah persoalan bagaimana untuk
mengatur kehidupan manusia, apakah yang harus dilakukan dan apakah tolok ukur
yang akan digunakan. Dari sini timbullah idea demokrasi yang dianut oleh
ideologi ini yang berasal dari pandangannya bahwa manusialah yang berhak membuat
peraturan (undang-undang). Menurut keyakinan mereka, rakyat adalah sumber
kekuasaan. Rakyatlah yang berhak membuat undang-undang dan setiap orang bebas
berpendapat dan berbuat sesuka hati di dalam mengatur kehidupan ini.
Oleh kerana ada terlalu ramai manusia dan ini menyukarkan proses untuk membuat
sesuatu peraturan atau mengambil keputusan, maka mereka menetapkan agar dilantik
wakil (rakyat) dan diambil suara majoriti di dalam apa jua keputusan. Dengan
ini, mereka boleh menggubal, meminda dan menghapuskan mana-mana undang-undang
semahu mereka berdasarkan kaedah atau kehendak majoriti tadi. Inilah konsep
sekular yang mereka terapkan di dalam negara mereka. Kemudian, apabila mereka
menjajah negeri-negeri umat Islam, konsep inilah yang mereka bawa dan terapkan
di dalam negeri umat Islam sehingga kita saksikan sekarang di seluruh dunia
Islam termasuk Malaysia, konsep sekularisme, iaitu konsep memisahkan agama dari
kehidupan ini (faslud deen’ anil hayah), telah diterapkan dengan baik dan
sempurnanya.
Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan
golongan bukan Islam benar-benar memahami akan hakikat ini. Sebab itulah mereka
boleh mendatangkan fakta yang tidak dapat disangkal membuktikan yang Malaysia
adalah sebuah negara sekular. Malangnya, dengan hanya pengisytiharan oleh
seorang pemimpin, banyak pihak cuba menegakkan benang yang basah.

Dalam ruangan yang serba sempit ini, kami paparkan sedikit bukti baik secara
normatif, empirik mahupun historis yang dapat disaksikan oleh setiap orang yang
mempunyai penglihatan dan pendengaran berkenaan hakikat Malaysia sebagai sebuah
negara sekular:
(i) Bukti Normatif: Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh sikafir Lord Reid
adalah bukti yang paling jelas meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara
demokratik, sekular dan berbilang agama dengan kedudukan Islam hanyalah sebagai
agama rasmi. Ini diperjelaskan lagi dari peristiwa semasa majlis sambutan
harijadi Tunku Abdul Rahman yang ke-81 pada tahun 1983 di mana beliau menegaskan
“Perlembagaan mestilah dihormati dan diikuti. Pernah adanya percubaan oleh
segelintir orang untuk cuba memperkenalkan undang-undang agama dan undang-undang
moral. Ini tidak dibenarkan. Negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum dengan
pelbagai kepercayaan. Malaysia mesti terus kekal sebagai negara sekular dengan
Islam sebagai agama rasmi”.
Dari sudut ekonomi pula, sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia adalah sistem
ekonomi Kapitalis di mana riba menjadi tunjang kepada banyak aktiviti
perdagangan, khuususnya perbankan. Judi dan arak dibenarkan dengan hanya
memberikan satu tauliah yang dipanggil ‘lesen’. Hak umum rakyat yang wajib
disediakan secara percuma oleh pemerintah seperti pendidikan, kesihatan, petrol,
air, jalanraya dan lain-lain dikenakan bayaran sesuka hati oleh pemerintah.
Ada yang berdalih dengan mengatakan Malaysia adalah negara Islam dengan adanya
Bank Islam, pajak gadai Islam (ar-Rahn), universiti Islam dan sebagainya. Mereka
jahil bahawa penerapan ‘nilai-nilai’ Islam di dalam sistem Kapitalis tidak
sekali-kali menjadikan sistem itu Islam, sebagaimana jika kita melihat Ah Chong
atau Muthusami menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam tidaklah
menjadikan mereka Muslim.
(ii) Bukti Empirik: Bukti empirik pula boleh dilihat dengan jelas dari
peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang diterimapakai dan diterapkan di
negara ini. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa ia adalah
undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang diluluskan
bertentangan dengan Perlembagaan, maka ia secara otomatik akan terbatal.
Peruntukan ini telah meletakkan Al-Quran di bawah (lebih rendah dari)
Perlembagaan dan dengan sendirinya menafikan kedudukan Al-Quran dan Hadis yang
sepatutnya menjadi undang-undang tertinggi (dan satu-satunya undang-undang) bagi
negara. Kewujudan dua sistem mahkamah (sivil dan syariah) mengukuhkan lagi
hakikat yang Malaysia adalah negara sekular (sila rujuk ‘SN117 Konflik Antara
Agama’ dan ‘SN125 Sijil Mati Untuk Lina Joy’ untuk penjelasan lanjut).
Dari sudut pemerintahan pula, sistem yang dilaksanakan adalah Demokrasi
berparlimen – sebuah sistem (sekular) yang dicedok sepenuhnya dari penjajah
British. Mengikut ajaran dan amalan sekular, segala undang-undang hendaklah
dibuat oleh manusia dan hak Allah sebagai As-Syari’ (Pembuat Undang-Undang)
hendaklah diketepikan. Jadi, jika majoriti manusia bersetuju untuk tidak
berhukum dengan hukum Allah, maka ini adalah sah menurut amalan
demokrasi-sekular. Pendek kata, undang-undang boleh digubal, dipinda atau
dihapuskan sesuka hati oleh manusia hanya dengan undi majoriti. Di sinilah
peranan agama dinafikan secara total di dalam menentukan kehidupan.
(iii) Bukti Historis: Hasil dari penjajahan kafir British ke atas Tanah Melayu
yang sebelumnya pernah berada di bawah pemerintahan Islam, undang-undang Barat
yang berasaskan sekular telah diperkenalkan. British telah memaksa umat Islam
menerima undang-undang mereka. Penggantian undang-undang ini tercatat dalam
sejarah penentangan hebat oleh para ulama di Tanah Melayu. Penentangan Naning
(1831-1832) yang dipimpin Dol Said bermula apabila penjajah memaksa kes jenayah
diselesaikan mengikut undang-undang British. Apabila Undang-undang 99
berteraskan Islam diketepikan penjajah, peristiwa ini telah memunculkan
penentangan di Perak.
Di Kelantan pula, penentangan berlaku apabila British melaksanakan undang-undang
berkenaan cukai hasil. Ia dipimpin Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Engku Besar
Jeram dan dibantu oleh Haji Said, Penghulu Adam dan Ishak Merbau di Pasir Puteh.
Di Terengganu, gerakan dimulakan oleh Sultan sendiri, kemudian oleh Hj Abdul
Rahman Limbong, Haji Musa Abdul Ghani Minangkabau, Syed Saggot dan Tok Janggut
(Lebai Deraman).
Di Pahang, Dato’ Bahaman, To’ Gajah, Mat Kilau, Mat Kelubi, Panglima Muda
Jempul, Mat Lela dan lain-lain telah bangkit meniupkan jihad melawan British
yang telah memaksa pelaksanaan undang-undang British menggantikan undang-undang
Islam di Tanah Melayu. Namun, penjajah berjaya menguasai politik Tanah Melayu
dengan kelicikan dan kekuatan mereka. Sejak itu urusan pemerintahan diurus
dengan undang-undang British dan merekalah yang menentukan perjalanan
pentadbiran dan pemerintahan berdasarkan sistem sekular mereka yang diwarisi
sehingga ke hari ini.
Definisi ‘Dar’ (Negara) Islam

Istilah Negara Islam (Darul Islam) adalah istilah syara’. Negara Islam menurut
syara’ adalah suatu wilayah yang melaksanakan hukum–hakam Islam dan keamanan
wilayah tersebut berada di tangan Islam, iaitu di bawah kekuasaan dan kekuatan
kaum Muslimin, walaupun majoriti penduduknya bukan Islam. Oleh itu, untuk
menentukan keadaan sebuah wilayah, apakah termasuk Negara Islam atau Negara
Kufur, bukanlah negeri atau penduduknya yang diambil kira, tetapi undang-undang
di wilayah tersebut dan keamanannya.
Apabila hukum (undang-undang) yang diterapkan oleh suatu wilayah adalah Islam
dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah seperti inilah yang
disebut Darul Islam atau Negara Islam. Sedangkan apabila hukum-hakam
(undang-undang) yang diterapkannya adalah undang-undang kufur dan keamanannya
tidak berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah demikian disebut Darul Kufur
atau Darul Harb.
Pengertian ‘dar’ ini diambil dari sebuah hadis riwayat Sulaiman ibnu Buraidah
yang di dalamnya tercantum: “Serulah mereka kepada Islam, maka apabila mereka
menyambutnya, terimalah mereka dan hentikanlah peperangan atas mereka, kemudian
ajaklah mereka berpindah dari negerinya (yang merupakan darul kufur) ke darul
muhajirin (darul Islam yang berpusat di Madinah) dan beritahulah kepada mereka
bahawa apabila mereka telah melakukan semua itu, maka mereka akan mendapatkan
hak yang sama sebagaimana hak kaum muhajirin dan juga kewajiban yang sama
seperti halnya kewajiban kaum muhajirin.” [HR Muslim].
Hadis ini menyatakan dengan jelas wujudnya pembezaan antara Darul Islam dan
Darul Kufur. Hadis ini menunjukkan bahawa apabila mereka tidak berpindah, maka
hak mereka tidak sama dengan kaum muhajirin iaitu orang-orang yang telah berada
di Darul Islam. Dengan demikian, hadis ini sesungguhnya telah menjelaskan
perbezaan hukum (undang-undang) antara orang yang telah berhijrah dan yang
tidak. Darul Muhajirin adalah Darul Islam pada zaman Rasulullah dan selainnya
adalah Darul Kufur. Dari sinilah diambil istilah Darul Islam dan Darul Kufur
atau Darul Harb.
Jadi, penambahan kata Islam, kufur atau harb pada “Dar” adalah mewakili sistem
hukum (undang-undang) dan pemerintahannya. Oleh kerana itu untuk menggunakan
istilah ‘dar’ atau ‘negara’, ianya selalu dikaitkan dengan penguasa iaitu
berkenaan: (1) pemeliharaan kepentingan umat mengikut undang-undang tertentu dan
(2) kekuatan (negara) yang menjaga/membela rakyat serta melaksanakan
undang-undang tersebut, iaitu faktor keamanannya. Dari sinilah dua syarat yang
disebutkan di atas ditekankan. Selain itu mengenai syarat penerapan hukum-hukum,
ia digali dari dalil al-Quran dan juga Sunnah.
Firman Allah: “Barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan
Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Mai’dah (5):44]. Dalam
Hadis riwayat ‘Auf ibnu Malik mengenai kedudukan pemimpin-pemimpin zalim,
tercatit sebahagian di dalamnya: “…ditanyakan oleh para sahabat: ‘Wahai
Rasulullah tidakkah kita perangi saja mereka itu dengan pedang?’ Baginda
menjawab: ‘Tidak selama mereka masih menegakkan solat (maksudnya menerapkan
hukum-hukum Islam) di tengah-tengah masyarakat”.
Terdapat juga hadis riwayat Ubadah ibnu Samit mengenai bai’at aqabah, di mana
katanya: “Dan hendaknya kami tidak menentang kekuasaan penguasa kecuali (sabda
Rasulullah:) ‘Apabila kalian melihat kekufuran yang bersifat terang-terangan,
yang dapat dibuktikan berdasarkan keterangan dari Allah.”. Di dalam riwayat Imam
Thabrani disebut ‘kekufuran yang jelas’ (surahan). Manakala syarat keamanan
mestilah keamanan Islam, yakni di bawah kekuasaan kaum Muslimin, ini diistinbat
dari firman Allah: “Dan Allah (selama-lamanya) tidak memberi hak bagi
orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” [TMQ an-Nisa’ (4):141].

Ayat ini bermaksud tidak boleh memberi ruang kepada orang-orang kafir untuk
berkuasa atas orang-orang Mukmin. Ini adalah kerana dengan memberikan kekuasaan
kepada mereka bererti menjadikan keamanan kaum Muslimin berada di bawah
kekuasaan mereka (kufur) bukan di bawah kekuasaan Islam. Keadaan ini boleh
dilihat di negara kaum Muslimin saat ini seperti Pakistan, Afghanistan, Arab
Saudi, Kuwait, Libya dan banyak lagi yang mana pemimpin mereka nyata-nyata
tunduk di bawah rejim kafir Amerika.
Walaupun (kerana keterbatasan ruang) kami tidak dapat mengungkapkan semua nas,
namun berdasarkan nas yang qat’i dari al-Quran dan Hadis, ternyata pada hari
ini, tidak ada satu negarapun di dunia ini, termasuk Malaysia yang layak disebut
negara Islam. Namun perlu difahami bahawa istilah negara sekular atau negara
kufur bukanlah membawa maksud penduduknya juga semua sekular atau kufur. Istilah
ini merujuk kepada ‘negara’ bukan ‘individu’nya. Adapun untuk individu, perlu
dilihat kepada akidah dan pemikiran yang dimilikinya untuk menentukannya samada
ia adalah seorang Muslim, kafir atau sekular.

www.tips-fb.com

1 comment:

BeLLa said...

tak best la politik ni