yang lepas jangan dilepaskan

Friday, June 3, 2011

Penonjolan watak 'hantu' dalam filem Melayu dianggap keterlaluan


TOYOL antara watak popular yang digambarkan dalam filem seram Melayu.
TOYOL antara watak popular yang digambarkan dalam filem seram Melayu.
Gambaran berlebihan makhluk halus beri impak negatif


“MAKHLUK halus itu boleh melihat kamu dan kamu tidak boleh melihat mereka.” - Sepotong ayat al-Quran ini jelas mengatakan mengenai kewujudan makhluk halus tetapi ada batasan antaranya dengan manusia. Ia seakan-akan menceritakan betapa dunia ini dikongsi bersama pelbagai makhluk lain tetapi dalam bentuk berbeza dan tidak dizahirkan semuanya.



Ayat ini dilafazkan seorang pengamal perubatan terkenal yang juga pengasas Darussyifa’, Datuk Dr Haron Din, merujuk kepada petikan ayat al-Quran bagi memberi gambaran sebenar bahawa makhluk halus tidak boleh dilihat secara nyata tetapi boleh menampakkan dirinya menyerupai makhluk zahir lain seperti manusia dan haiwan.

Namun, apabila merujuk kepada lambakan filem seram akhir-akhir ini, jelas watak hantu atau makhluk halus ditonjolkan dalam bentuk berbeza. Meskipun ia berbentuk manusia, penampilannya begitu keterlaluan. Wajah yang menakutkan, mata terbonjol keluar, gigi taring dipenuhi darah atau paling tidak pun terbang tanpa badan, hanya berkepala.

Malah, lebih menambah rencah, watak hantu digambarkan mampu membunuh manusia, melapah badan mangsanya dan menyebabkan satu kampung jadi huru-hara, meskipun akhirnya akan diredakan dengan kemunculan orang alim atau bomoh yang menggunakan mungkin ayat al-Quran dan tidak kurang juga berjampi serapah.

“Islam melihat makhluk halus hanya sebagai satu aspek kewujudan, bukan untuk menakutkan atau menggemparkan manusia. Malah, sepanjang sejarah tamadun Islam, tidak pernah ada unsur seram yang dijadikan bahan untuk menakutkan masyarakat. Dalam Islam, ketakutan hanya pada Allah semata-mata. 
“Apa ditonjolkan dalam filem seram dianggap keterlaluan dan jauh daripada realiti sebenar kewujudan makhluk halus itu sendiri. Malah, ia memberi impak negatif dan menyusahkan apabila anak yang dulunya boleh tidur sendirian, kini rasa gelisah dan sentiasa minta ditemani atau ada orang yang tidak lagi berani sendirian keluar waktu malam kerana takutkan hantu. Ia seperti kita mendidik masyarakat menjadi penakut.

“Sebenarnya, dalam pengalaman kami (Darussyifa’) merawat pesakit berkaitan makhluk halus, belum pernah berdepan dengan hantu seperti yang digambarkan dalam filem. Mereka (syaitan dan jin) sebenarnya amat sukar untuk kita lihat dan jarang-jarang pula menampakkan diri mereka.

“Jika menampakkan diri mereka, ia mesti menyerupai makhluk lain seperti burung, ular atau manusia tetapi lengkap sifatnya dan tidak menakutkan. Malah, hadis Nabi juga menyebut bahawa makhluk halus ini boleh menyerupai apa saja tetapi tidak menakutkan,” katanya.

Beliau mengambil contoh satu kejadian ketika mesyuarat antara orang Musyrikin yang mencari jalan untuk menghentikan dakwah Nabi, malah merancang untuk membunuhnya. Ketika itu ada seorang bernama Sheikh Najibin turut hadir dan memberi pandangan, sedangkan dia sebenarnya Iblis.

Sama juga berlaku ketika Perang Badar yang mana ada seorang panglima bersama pasukan kafir bernama Suraqah Malik yang sebenarnya makhluk halus. Bagaimanapun, tidak ada yang muncul dalam fizikal menakutkan.



Justeru, beliau melihat kewujudan pelbagai watak dalam filem seram hanyalah gambaran tahyul untuk menjadikannya seram. Merujuk kepada pengalamannya berdepan pelbagai kes, majoriti pesakit tidak pernah melihat makhluk lain menyerupai toyol, hantu raya, pontianak atau sebagainya, yang mereka nampak hanya imbasan manusia.

“Jika rasukan atau histeria, ia memang berlaku kerana makhluk halus boleh masuk dalam tubuh kita tetapi sekali lagi saya jelaskan, ia tidak akan menyerupai bentuk yang menakutkan. Tidak ramai mengaku pernah nampak toyol atau pontianak. Saksi itupun boleh diragui sama ada memang benar apa yang mereka nampak.

Berbeza pula pandangan seorang lagi tokoh perubatan Islam, Datuk Ismail Kamus, yang mengakui kewujudan hantu dan makhluk halus serta boleh menampakkan dirinya dalam bentuk yang menakutkan tetapi beliau melihat penggunaan watak itu dalam filem seram dilebihkan sehingga menjadikan orang lebih takut pada sesuatu yang sedia menakutkan.

Justeru, katanya, sewajarnya watak dan gambaran sebegitu jangan terlalu didedahkan kerana akan mewujudkan pelbagai konflik dalam jiwa masyarakat. Jika sebelum ini mereka tidak tahu, ia akan jadi tahu dan jika sebelum ini tidak takut, ketakutan itu akan mula muncul.

“Orang ramai sebelum ini hanya dengar mengenai toyol, pontianak, langsuir dan sebagainya tapi tidak pernah melihatnya. Ketakutan itu tipis saja tetapi apabila ditonjolkan, orang sudah mula takut dan mula tidak selesa. Muncul pula segolongan lagi yang fanatik dengan perkara mistik sebegini.

Kenapa filem seram mendapat sambutan? - Jawapannya lebih kepada sikap dan minat orang Melayu itu sendiri yang terlalu percayakan benda mistik. 

Menurut Ismail, orang Melayu memang suka dengan semua itu dan orang filem hanya mengambil kesempatan dan melebihkan apa yang sedia ada.

Kata Ismail, jalan cerita yang menggambarkan orang mati dibunuh bangkit untuk membalas dendam nyata satu gambaran menyesatkan kerana tidak ada sebarang cara untuk orang mati kembali ke alam nyata. Hantu atau apa saja yang dilihat itu hanyalah jelmaan jin dan syaitan, bukan orang mati seperti digambarkan dalam filem seram! 
www.tips-fb.com

2 comments:

Firdaus Life said...

bagus info yang anda share ni. Tapi macam mana nak banteras sikap yang percayakan benda karut ni ye ?

Senarai Blog Segmen 9 -16 Dah Keluar

Unknown said...

sgt menarik post ni.. thanks..